Thursday, February 22, 2007

Part ThReE


Bab 3

Pagi itu rumah banglo dua tingkat kami riuh rendah dengan suara dari sanak saudara terdekat yang datang berkunjung sempena Majlis Pertunanganku pada petang nanti. Jika semalam tidak ada tanda-tanda pun yang rumah kami akan mengadakan majlis, tetapi jika dilihat pada pagi ini suasananya amat jauh berbeza.
Beberapa orang jiran dan saudara maraku yang rapat sedang sibuk menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu nanti. Anak-anak kecil pula riuh bermain kejar-kejar di luar halaman rumah sana.
Jika semalam hatiku agak resah dan gelisah tetapi berlainan pada hari ini kerana aku tidak berasa gusar dan tidak pula berasa gembira dengan pertunangan ini setelah melakukan Solat Istikharah pada lewat malam semalam. Apa pun aku pasrah akan takdir yang ditentukan ke atasku. Sesungguhnya aku akur akan jodoh, maut dan pertemuan itu adalah telah ditentukan Allah semenjak azali lagi. Mungkin ini adalah jodohku yang telah dijanjikan untukku.
Aku berjalan keluar dari bilikku dan beransur ke dapur untuk melihat mana-mana perkara yang boleh aku tolong. Namun, belum pun sempat aku menolong apa yang perlu, Mak Teh Limah telah pun melarang aku membuatnya dan menyuruh aku ke depan sahaja.
Baru sahaja aku memegang pinggan untuk dicuci, Kak Linda, anak Mak Ngah Azimah yang tua lima tahun daripadaku itu dan sudah pun mempunyai 2 orang cahaya mata lelaki ini telah datang memanggilku untuk melihat gubahan sirih junjung yang digubahnya sempena hantaran kepada pihak lelaki. Cantik sekali sirih-sirih itu digubah bersama bunga-bunga mawar yang segar dan harum mewangi. Di sisi tepak sirih itu, terdapat beberapa dulang lagi hantaran kepada pihak lelaki, antaranya seperti persalinan, perfume dan set penjagaan diri.
Aku membelek-belek hantaran itu yang digubah dalam set berwarna beige itu. Cantik sekali. Aku tidak menduga perkara ini turut disiapkan tanpa pengetahuanku, kerana selama seminggu aku di rumah ini, aku tidak pernah melihat barang-barang ini.
Mungkin Umi sudah menyuruh Kak Linda menyiapkannya dan baru hari ini dia membawanya. Hmm… yalah…. Lagi pun, aku yang nak bertunang ini pun baru sahaja tahu yang aku akan ditunangkan, apatah lagi untuk melihat dan menggubah sendiri hantaran-hantaran ini.
Mungkin mereka semua sudah sepakat untuk membuat satu kejutan buatku, dan kalaulah memang betul itu niat mereka, sesungguhnya mereka sudah berjaya. Dan satu anugerah patut diwujudkan di atas usaha mereka ini !
Kak Linda yang tadi sedang membetulkan gubahannya ini sudah pun keluar ke tandas menemankan anak bongsunya, Syazril yang sedari tadi merengek-rengek meminta mamanya menemaninya ke tandas.


Air mata Charina hampir menitis tetapi dapat ditahannya apabila ibu tunangannya, Nik Shahrul Hairi Nik Abdul Rahman menyarungkan cincin pertunangannya ke jari manis di tangan kirinya. Satu kucupan lembut singgah di pipi kanannya dari bakal mertuanya membuatkan Charina berasa segan dengan orang-orang yang berada di biliknya itu. Sebentar kemudian Umi merapati Charina dan memeluknya erat. Charina membalas pelukan ibunya itu dan mencium tangannya. Kemudiannya, adiknya Rini pula menerpa dan turut memeluknya erat.
“Erin sekarang dah rasmi menjadi tunangan Hairi, dan tak kurang setahun lagi kamu berdua akan disatukan, jadi, Umi harap pandai-pandailah Erin menjaga diri, jaga tingkah laku. Kalau nak buat sesuatu tu, fikir dulu apa baik-buruknya, apa kesannya. Sebabnya sekarang ni Erin sudah mempunyai dua keluarga dan Erin patut pandai menjaga perasaan kedua-dua keluarga ini, dan juga perasaan bakal suami Erin nanti.”
Panjang ‘kuliah’ yang Umi sampaikan kepadaku. Aku mendengarnya dengan teliti dan menganggukkan kepala perlahan. Rini yang berdiri bertentanganku menyengih dan mengangkatkan keningnya kepadaku berkali-kali. Tetapi aku tidak menghiraukan gelagatnya itu. Jika dia berbuat begitu dan tiada orang di sekelilingku ini, aku rasa pasti jenuh juga dia berlari untuk mengelakkan diri dari terkena penanganku.
Tiba-tiba sebiji bantal melayang dan mendarat tepat mengenai mukaku.
“Aduh!”
“Hoi !! Khayal…. Ingatkan Cik Abang ke??” Sergahan dan lemparan bantal itu mengembalikan aku ke alam nyata. Rini ketawa berdekah-dekah melihatkan mukaku yang pucat itu. Aku mengurut-ngurut dadaku perlahan.
“Sibuk!”
“Hai…. Ingatkan Cik Abang ke?” Sekali lagi Rini mengulanginya setelah pertanyaan yang pertama tidak berjawab.
“Jelous ke? Kita ada Abang, awak tu takde?” Aku sengaja menyakiti hatinya.
“Huh, please…. tak jelous langsung !!” Sekali lagi dia membalingkan bantal kusyen yang beropol yang berada berhampirannya dan selepas itu terus berlari ke dapur.
Aku kembali menyambung angan sambil melunjurkan kaki di sofa panjang itu. Aku sama sekali tidak menyangka bahawa Nik Shahrul Hairi yang menjadi tunanganku itu adalah orang yang sama yang sering menyakiti hatiku sewaktu di kampus hijau.
Setahuku Shahrul yang sering menyakiti hatiku itu berasal dari Johor dan kini barulah aku ketahui bahawa sebenarnya dia sekeluarga berasal dari Tanah Serendah Sekebun Bunga ini tetapi telah bertahun menetap di Johor Bahru. Baru 6 bulan lepas mereka kembali menetap di tanah kelahiran ayahanda dan ibunda mereka ini setelah bapa mereka tamat tempoh perkhidmatannya selaku Penolong Pesuruhjaya Polis Johor.
Sebelum ini pun aku tidak pernah mengetahui nama penuh Shahrul yang sebenarnya, dan aku tidak pernah untuk mengambil pusing tentang Shahrul, meskipun dia sering menyakiti hatiku. Tetapi mungkin selepas ini aku perlu mengambil berat akan perihalnya, aku perlu mendekatinya dan aku juga perlu mendalami hatinya dengan lebih dekat lagi.
Pada mulanya, setelah melihatkan gambar yang ditunjukkan oleh bakal ibu mertuaku sewaktu Majlis Pertunanganku tempoh hari, hampir terjerit aku di kala itu, tetapi aku bernasib baik kerana aku masih mampu mengawal perasaan dan masih mampu mengukir senyum.
“Inilah Hairi, anak Mama. Hairi ni anak sulung Mama dari lima beradik. Mama harap Erin akan hidup bahagia kelak bersama Hairi. Layarilah hidup kalian dengan bahagia kelak sehingga ke akhir hayat.” Ucap Puan Maria dengan lembut dan penuh dengan sifat keibuan. Dan dia mencium dahiku dengan penuh kasih sayang. Terharu aku rasakan di saat itu. Aku mencium tangannya dengan tulus.
“Hmmhh…. Entahlah….. ibunya dah okey, tapi… kalau anaknya yang tak okey, tiada gunanya, Erin……” keluh Charina sendiri. Saat itu aku merasa kecut kerana aku tahu yang Shahrul sudah berteman. Mungkin juga dia sudah mengetahui akan pertunangan ini lama dulu. Mungkin itulah sebabnya mengapa dia sering memarahiku dulu. Oleh kerana dia tidak dapat meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada kedua ibu bapanya, jadi dia menjadikan aku sebagai sasaran untuk meluahkan rasa geramnya. Mungkin. Hmmhh… entahlah, Erin….


Deringan telefon yang kali kedua itu segera aku capai apabila mencapai deringan yang ketiga. Sewaktu deringan yang kali pertama tadi, aku sedang Solat Isyak di rakaat terakhir. Ketika ini hanya aku seorang sahaja yang berada di rumah kerana Umi dan Abah menghadiri Majlis Ceramah Agama yang diadakan di masjid yang tidak jauh dari rumah kami. Sementara Rini pula sedang menghadiri satu Kursus Kepimpinan yang diadakan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Putih yang memaksanya bermalam selama tiga hari dua malam. Dan Abangku, Abang Lan pula sedang out station ke Taiping, Perak selama lima hari. Tugasnya sebagai seorang Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat tempatan yang sedang meningkat maju itu memaksa dia sering bertemu pelanggan.
Aku berlari pantas menuruni anak tangga dan bergegas mencapai gagang telefon.
“Hello…. Assalamualaikum…”
“Waalaikummussalam.” Satu suara garau menjawab di sebelah sana.
Rasanya aku pernah mendengar suara ini….
…. Shahrul??! Aku meneka. Tiba-tiba rentak jantungku berdegup kencang. Selama dua minggu pertunangan kami ini, dia belum pernah menghubungiku, dan begitu juga aku. Jari jemariku tiba-tiba menjadi sejuk.
“Err, nak cakap dengan siapa?” Aku berbahasa. Dadaku masih bergetar.
“Boleh saya bercakap dengan Charina?”
“Err.. saya..” Sah! Shahrul.
“Ooo… Rina… Arie ni… err… Shahrul…”
“Aaa… Shahrul…” aku tidak tahu untuk mengeluarkan kata-kata lain. Sebenarnya aku gugup seketika. Sebelum ini kami belum pernah berbual mesra bersama. Kalau ada pun itu hanyalah dalam lakonan kami tempoh hari. Selebihnya kami saling tidak mengendahkan antara satu sama lain. Meskipun sesekali ada juga kami bertengkar mulut.
Aku kerap kali juga terserempak dengannya bersama makwenya, Suraya sama ada di kawasan fakulti ataupun di lain-lain kawasan kampus. Kononnya Romeo dan Juliet lah tu, tak pun Laila dan Majnun. Ke mana sahaja berbonceng berdua. Kononnya dunia ini milik mereka berdua.
Setiap kali berpapasan, aku kadang-kala perasan akan pandangan mata Shahrul yang menghala ke arahku. Tatkala itu aku menganggap pandangan itu adalah daripada seorang yang sangat membenciku walaupun tanpaku tahu sebabnya, namun aku tidak pernah mengendahkannya.
Kini barulah aku fahami akan pandangan itu. Shahrul sememangnya membenciku kerana kehendak kedua orang tua kami yang menginginkan kami bersatu menyebabkan cintanya bersama Suraya terhalang. Tetapi aku tidak bersalah, aku tidak pernah menginginkan semua ikatan ini.
“Rina… err…. boleh tak aku nak ajak kau keluar besok?” Lancar suara Shahrul kedengaran di gagang tanpa emosi.
“Keluar? Err, kenapa? Nak ke mana?” Lembut aku bersuara, jua tanpa emosi.
“Ada hal yang nak dibincangkan. Aku ambil kau di rumah besok pukul 8.30 malam selepas Isyak, ya.” Putus Shahrul kemudiannya. Aku berkira-kira seketika.
“Okey,” akhirnya aku memberi jawapan positif.
“Terima kasih, jumpa besok,” ucap Shahrul pendek setelah mendengar keputusanku itu.
“Sama”
“Beep !” Kedengaran gagang diletakkan di sebelah sana. Aku termangu-mangu seketika, namun setelah menyedari bunyi talian yang semakin membising aku kembali meletakkan gagang ke tempat asalnya.





No comments: