Thursday, February 22, 2007

Part FouR


Bab 4

Suasana sunyi hanya dihiasi dengan bunyi suara dari stereo di dalam kereta Proton Satria GTi yang dipandu oleh Shahrul ini. Tadi, lebih kurang pukul 8.45 kami beransur keluar setelah Shahrul berbual beberapa ketika bersama Umi dan Abah sementara menunggu aku bersiap. Shahrul yang tiba 15 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan, jadi dia tidak boleh menyalahkanku di atas kelewatan ini. Aku turun ke ruang tamu 5 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan. Jadi kami sempat berbual bersama Umi dan Abah dan juga Rini yang sudah pulang dari Kursus Kepimpinannya itu.
Shahrul memandu keretanya menghala ke arah Jalan Pengkalan Chepa. Suasana masih sunyi di antara kami. Aku tidak berani untuk memulakan perbualan.
“Kita makan di Kuchina Italiano, boleh?” Suara Shahrul memecah kebuntuan di antara kami. Jadi dia memilih untuk makan malam di sebuah restoran masakan Itali yang terdapat di pinggir bandar ini.
“Aku mengikut aje” aku membalas pertanyaan Shahrul itu. Aku memalingkan sedikit arah mukaku dan menghala ke arahnya sambil melemparkan sekuntum senyuman manis. Tetapi dia tidak melihatnya kerana wajahnya memandang tepat ke arah hadapan memberi sepenuh tumpuan kepada pemanduannya.
Air mukanya sungguh jernih di kala itu. Aku akui, Shahrul sememangnya kacak. Handsome, seperti yang seringkali dinyatakan oleh Rini kepadaku. Aku kembali menikmati irama sentimental yang berkumandang di ruang kereta Proton Satria itu. Kereta berjalan dengan kadar kelajuan yang sederhana.
Shahrul mengetuk-ngetuk jari-jemarinya ke stereng mengikut irama. Aku membiarkannya tanpa menegur. Sebenarnya aku masih kekok untuk bercakap dengan tunanganku ini. Mungkin juga dia begitu. Tidak berapa lama kemudian Shahrul pun memberhentikan keretanya ke sisi jalan. Dari tempat kami aku terpandangkan Restoran Kuchina Italiano itu yang sering aku melihatnya sewaktu memandu melalui jalan ini sewaktu pergi balik daripada Kampung Pantai Sabak, rumah keluarga sebelah Abahku. Tetapi inilah baru pertama kali aku memasuki di restoran elit ini.
Kami keluar dan terus berjalan menghala ke arah restoran itu. Penyambut tetamu menghadiahkan senyuman manis dan menjemput kami ke dalam. Kami hanya mengekorinya dan akhirnya penyambut tetamu lelaki itu, Bahari, yang aku ketahui namanya daripada tanda namanya itu berhenti di sebuah meja sederhana kecil tetapi comel, sesuai untuk dua orang yang sedang hangat dalam percintaan.
Meja bulat yang comel itu dihiasi dengan lilin-lilin dan mawar merah yang sedang memekar. Suasana di sekeliling yang suram dan dihiasi dengan cahaya lampu yang romantis menghangatkan lagi suasana pada malam itu.
Wow !! Candle Light Dinner !!! Terdetik kata-kata itu di hatiku serta-merta. Biar benar….. Shahrul bawa aku untuk Candle Light Dinner ?? Miracle… Miracle….. Sungguh ajaib…
Kami duduk dan secara kebetulan saling bertentangan mata. Sepantas kilat aku melarikan bola mataku dan menunduk malu. Pelayan lelaki tadi terus berlalu selepas kami memesan makanan. Aku mengangkat mata, dan sekali lagi mata kami bertentangan. Aku malu, namun menghadiahkannya satu senyuman nipis. Apa mimpi Si Shahrul ni ?? Ish, confuse aku….
Tiba-tiba tangan Shahrul mencapai tanganku dan dia menggenggamnya erat. Aku terperanjat. Dalam cahaya-cahaya yang kelam kekuningan itu, aku memandang wajahnya mencari kepastian.
“Maafkan saya.” Dia terdiam seketika. “Maafkan saya, Rina…. atas sikap saya selama ini terhadap awak. Saya sedar sikap saya ke atas awak selama ini amat melukai hati awak. Maafkan saya.” Lembut dia bersuara. Panggilan kau dan aku sudah hilang dari mulutnya.
Kala itu terasa hatiku mencair lalu mengalir dan menyusuri ke anak sungai lalu mengalir membentuk sebatang sungai yang sungguh indah. Di dalamnya penuh dengan anak-anak ikan yang berenangan ke sana ke mari, udang pula berkejar-kejaran sesama sendiri. Suasana sekeliling penuh kedamaian dengan suara unggas dan cengkerik yang menyanyi merdu. Pohon-pohon bunga hutan yang tumbuh meliar melambai-lambai di tiup angin melahirkan satu aroma yang sangat unik. Harum. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.
“Rina.” Panggilan itu menyedarkanku ke alam nyata. Aku memandang wajahnya dan memberi senyuman manis.
"Erin..," aku membetulkan panggilannya itu. Dia tersenyum sambil mengangguk-angguk kepalanya perlahan. Kami saling berbicara dari hati ke hati. Kisah selepas itu terus menjadi satu kenangan yang abadi buatku untuk selamanya. Aku bersyukur atas semua anugerah Illahi ini.
Setelah beberapa lama, kami beransur pulang. Hati kami berbunga riang. Shahrul memandu keretanya dengan penuh tumpuan. Sewaktu melalui kawasan Baung dalam perjalanan pulang, secara tiba-tiba sebuah kereta Ford Telstar memotong kereta kami dengan lajunya, dan di saat itu, sebuah kereta dari hadapan turut memandu dengan lajunya dari arah hadapan. Kami yang terperangkap di tengah-tengah terpaku dengan situasi yang tidak diduga itu. Segalanya berlaku secara tiba-tiba. Shahrul tidak dapat mengawal keretanya. Kereta Proton Saga dari arah hadapan itu datang melanggar kereta kami. Aku menjerit sekuat hati. Bunyi dentuman yang sangat kuat sayup-sayup kedengaran di pendengaranku. Selepas itu aku tidak mengingati apa-apa lagi.



Woit… woi…. Bangun…!!” Satu goyangan tangan terasa keras di bahuku.
“Woi… Bangun… dah Maghrib ni…” Goyangan tangan itu semakin kuat.
“Erin… bangun Erin…” suara Umi kedengaran jauh.
Aku membuka mata dan meraba mukaku pantas.
“Hei… bangun, dah Maghrib dah ni…. Terjerit-jerit macam hantu….” Suara Rini kedengaran keras di pendengaranku. “Minta tolong apa Maghrib-Maghrib ni?? Mimpi apo?” Suara Rini lagi. Aku termangu-mangu sendiri.
“Erin mimpi apa tadi? Teruk betul mintak tolongnya. Tu lah orang-orang tua tak bagi tidur waktu Maghrib, banyak syaitan yang mengganggu. Tambah lagi anak-anak dara macam Erin ni. Dah, bangun pergi mandi. Umi ngan Abah nak gi masjid ni” Ujar Umi kemudiannya lalu berpaling keluar dari bilikku ini. Rini pun turut berlalu mengikut langkah Umi.
Aku bangun dan duduk di tepi katil. Keringat yang mengalir di muka ku sapu dengan tuala muka yang berada di kepala katil. Huh, bermimpi rupanya aku!! Rupanya selepas solat Asar tadi aku tertidur di katil sewaktu membaca buku cerita Maya Pusara tulisan daripada Samsiah Md. Nor, seorang penulis muda yang berbakat dan diminati ramai.
Aku lantas mengambil tuala di gantungan di belakang pintu dan terus berlalu ke bilik mandi. Waktu Maghrib sudah sampai di pertengahan waktunya. Aku tidak mahu terlepas untuk menunaikan Solat Maghrib ini. Langkahku semakin aku lajukan. Setelah siap mandi aku segera menunaikan Solat Maghrib ini. Selesai sahaja aku memberi salam yang kedua, satu deringan telefon kedengaran langsing. Aku bergegas dan berlari anak untuk menyambut panggilan itu kerana telefon yang terletak di antara tangga untuk ke atas.
“Hello.”
“Hello. Boleh saya bercakap dengan Charina?” Satu suara asing kedengaran di gagang sebelah sana.
“Saya bercakap. Siapa ni?”
“Shahrul.”
Aku terkejut. Mimpi yang baru ku alami kembali menjengah di fikiran.
“Aaa, Shahrul…. Kenapa? Adahal ke?” Lembut aku bersuara namun tetap bergetar di hujung suara.
“Err, saya nak ajak awak keluar malam esok, boleh tak? Emmm… maksud saya Mama suruh jemput awak makan di rumah kami besok.” Lancar Shahrul memberitahu. Suaranya tiada kemesraan. Terlalu formal kedengarannya di telingaku. Meskipun begitu, mimpi tadi masih jelas menguasai fikiranku.
Aku berfikir-fikir sebentar. “Macam ni lah, nanti saya bagi jawapan kemudian. Sebab saya nak beritahu Umi dan Abah saya dulu. Dia belum balik dari masjid” Putusku kemudian.
“Eleh, tu pun nak tanya Umi ngan Abah dulu ke?” Suara itu kedengaran sinis di pendengaranku. Hatiku berasa tersentak dengan sindiran sinisnya itu. “Macam ni nak jadi isteri aku, keputusan sendiri pun tak boleh nak buat!” Rungutnya perlahan tetapi dapat aku dengari. Atau dia sengaja memperlahankan suaranya tetapi memang mahu aku mendengarnya. Apa pun perasaanku tersinggung mendengar kata-katanya itu.
“Boleh saya bercakap dengan Mama awak sekejap?” Pintaku kemudiannya. Selepas itu aku mendengar suara Shahrul memanggil Mamanya dan kemudian diikuti bunyi derapan kaki yang semakin mendekat.
“Assalamualaikum, Erin. Apa khabar?”
“Khabar baik. Aunty pulak apa khabar?” Soalku kembali. Malu rasanya berbual dengan bakal mertuaku ini. Dan aku juga terasa agak kekok untuk memanggil Aunty Maria sebagai Mama meskipun pada asalnya dia membahasakan namanya sebegitu sewaktu di awal pertemuan kami.
“Ma… err… Aunty baik. Err, macam ni Erin… tadi Aunty suruh Shahrul jemput Erin untuk makan malam di rumah kami esok. Boleh ke? Atau Erin dah ada rancangan Erin sendiri?” Soal bakal mertuanya lembut.
“Tak, saya tak ke mana-mana. Cuma saya nak minta kebenaran Umi dengan Abah dulu sebelum saya beri keputusan. Itu yang saya cakap kepada Shahrul tadi.” Aku cuba menjelaskannya sebaik mungkin. Aku perlu menanyanya kepada Umi dan Abahku dahulu, meskipun aku sudah menjangka yang mereka pasti membenarkannya.
“Takpe, lagipun memang Aunty nak jemput Erin sekeluarga pun. Kalau ada apa-apa yang Arie cakapkan tadi, Aunty minta maaflah. Dia tu memang macam tu, susah nak rapat dengan orang, tapi kalau dah kenali dia dengan rapat barulah kita tahu hati budinya.” Aunty Maria menjelaskan tentang perangai anak lelaki bujangnya itu. Aku hanya mengiakannya.
“Nanti saya telefon kemudian.” Balasku mengakhiri perbualan.
“Haa, yalah. Aunty tunggu.” Perbualan kami putus di situ.














No comments: