Friday, February 23, 2007

Part FiVe


Bab 5

Abah memandu kereta dengan kelajuan yang sederhana menghala ke arah Kubang Kerian. Di waktu ini jalan tidak sesibuk di waktu pagi. Setelah hampir dua puluh minit memandu, akhirnya kami tiba di sebuah rumah banglo yang unik, di mana rumah ini diperbuat sepenuhnya daripada kayu jati dalam rekabentuk yang unik tetapi comel ini.
Sewaktu melangkah keluar daripada kereta ini, aku lebih kagum dengan kawasannya tamannya yang dibentuk rapi. Sebuah kolam ikan dilengkapi sebuah jambatan kecil yang comel menghiasi ruang yang cantik itu di suatu sudut.

“Wow!” Suara Rini. Mungkin dia pun kagum melihat dekorasi taman di rumah ini. “Kak…. bertuahlah kau…. Dapat anak orang kaya……,” bisiknya di telingaku. Di waktu itu, Aunty Maria dan suaminya, Pak Cik Rahman berjalan keluar daripada sliding door untuk menyambut kami.
"Man… ," Abah berjabat tangan dengan Pak Cik Rahman erat dan Pak Cik Rahman memeluk Abah sambil menepuk-nepuk bahu Abah mesra. Mereka berdua merupakan sahabat lama sewaktu belajar di Universiti Malaya pada tahun 1960-an dulu di dalam jurusan Sains Politik. Kami semua memandang sambil tersenyum. Umi pula meraih jabatan salam dari Aunty Maria yang kemudiannya dihulur pula ke arahku. Aku menyambutnya lalu menunduk mencium tangan bakal ibu mertuaku itu. Aunty Maria menggosok-gosok perlahan ubun-ubun kepalaku. Selepas itu tangan adikku, Rini pula berada di dalam genggamannya, dan dia mencuit polos pipi Rini yang mulus itu. Rini tersipu kemalu-maluan.

"Lawa-lawa anak dara Cik Fatimah ni," ujar Aunty Maria sambil menghadiahkan sebuah senyuman ikhlas. Rini semakin tersipu. Hendak tergelak rasanya aku melihat Rini yang biasanya lincah itu kali ini tersipu-sipu begitu. Aku cuba menyembunyikan senyumanku dari pandangan Rini tetapi sempat dilihatnya. Selepas Umi dan Aunty Maria berlalu seiring memasuki mahligai yang tersergam indah itu menuruti jejak langkah Abah dan Pak Cik Rahman yang terlebih dahulu memasuki rumah melalui sliding door yang terbuka luas itu, Rini mencubit tanganku rakus.

"Aduh!" Aku mengaduh kecil dan terus mempercepatkan langkahku. Rini yang tertinggal di belakang cuba menyaingiku.

"Itulah akibatnya suka mengetawakan orang," Rini tergelak-gelak kecil dan tertahan-tahan. Aku membuat muka bodoh, malas bertekak dengannya. Dah la di rumah bakal mertua, nak cari nahas??


Kami makan dengan penuh selera di meja hidangan selepas lebih kurang 15 minit berborak-borak kosong di ruang tamu yang tentunya lebih indah itu. Sewaktu aku dan Rini mula-mula memasuki pintu rumah itu, aku terpandangkan Shahrul yang kacak berbaju kemeja batik berwarna biru firus menyerlahkan kulitnya yang bersih itu baru sahaja melangkah turun daripada tingkat atas rumahnya. Hatiku berasa sedikit berdebar melihatnya. Sukar untuk aku ucapkan dengan perkataan, bagaimana perasaanku terhadapnya. Mungkin aku masih bergetar mengingatkan layanan dinginnya selama ini terhadap diriku.

Selepas turun dari tangga itu, dia terus menghala ke arah Abah dan menyalami tangan Abahku lembut dan menghadiahkan senyuman manis kepada Umi, Rini dan aku sambil mengangguk kepalanya sebagai tanda menyapa kami. Setelah itu kami semua duduk berborak-borak sementara menunggu pembantu rumah mereka menyiapkan hidangan malam kami. Walhal aku sebenarnya lebih banyak berdiam diri daripada rancak bercerita. Aku lebih banyak menjawab soalan yang diajukan kepadaku, dan jika tiada soalan, aku lebih suka berdiam diri.
Setelah siap makan, kami beransur pulang ke rumah. Suasana makan pada malam ini aku rasakan agak tenang, mungkin kerana Hairul, Hafizi dan Hani yang tengah bercuti sekolah itu tiada di rumah di waktu itu. Adik-adik Shahrul itu sedang menghabiskan masa cuti mereka di rumah nenek mereka di Pasir Mas, Kelantan, iaitu di sebuah daerah yang lain yang mengambil masa lebih kurang sejam lebih daripada bandar Kota Bharu ini. Hanya Hazrul, adik Shahrul yang bongsu dan berumur empat tahun sahaja yang ada bersama. Nampaknya Hazrul amat manja denganku. Sepanjang malam ini, Hazrul sering berada di sisiku sambil berborak mesra. Aku amat menyukai mulutnya yang petah itu dengan rambutnya panjang lurus melepasi menutupi matanya yang jernih itu. Ada cahaya keindahan di mata anak comel ini.

"Kakak, datanglah lagi ya…." Ujar Hazrul sewaktu kami melangkah ke arah kereta Optima keluarga kami. Aku tergelak kecil sambil menganggukkan kepalaku.

"Promise?" Soal Hazrul petah.

"Promise," Aku cuba mengambil hati budak kecil yang sudah mula menambat hatiku ini. Aku menghadiahkan sebuah ciuman ringkas di pipi Hazrul sebelum berlalu ke kereta. Hampir kesemua yang berada di situ ketawa melihat gelagat Hazrul selepas menerima ciuman dariku. Hazrul yang petah itu tersipu-sipu malu setelah menyedari orang mentertawakannya.
Namun, aku merasa lebih berdebar kerana menerima panahan mata yang amat tajam daripada Shahrul yang berada agak kebelakang dari kesemua yang berada di situ. Matanya melahirkan gambaran serius, dan tiada senyuman di wajahnya. Aku agak gugup namun bijak menyembunyikannya dengan terus menyalami kedua bakal mertuaku dan terus memohon diri meninggalkan Abah dan Umi yang masih mengucapkan 'Selamat Tinggal' kepada keluarga sahabat karib Abah itu. Kami sampai di rumah setelah jarum jam mengenjakkan ke angka 11.00 malam.


Lebih kurang tiga hari lagi aku akan menamatkan cuti semester selama hampir tiga bulan ini. Apabila semester akan dibuka pada hari Isnin nanti, aku akan menduduki semester tiga di tahun kedua di Kampus Hijau itu. Mudah-mudahan resultku cemerlanglah hendaknya. Sudah beberapa kali beberapa malam yang lalu aku cuba mendail talian tele-info UPM yang telah disediakan untuk kemudahan para pelajar menyemak keputusan semasa mereka, tetapi gagal kerana mesin masih memberi keputusan semester lepas. Mungkin juga maklumat tersebut masih belum dikemaskini.

Hari ini aku memandu kereta Kancil EX 850 milik Umi menuju ke pusat bandar Kota Bharu yang hanya mengambil masa lebih kurang lima minit sahaja daripada rumahku, untuk membeli barang-barang keperluan untuk dibawa ke kampus nanti. Dan tidak ketinggalan juga serba sedikit makanan untuk bekalan di sana nanti. Rini yang berada di sebelahku ini leka menyanyi mengikut rentak lagu Baby One More Time nyanyian Britney Spears. Aku membiarkan gelagatnya tanpa menegur dan terus menumpukan pemerhatian terhadap pemanduanku ini.
Sekarang aku sudah memandu memasuki pusat bandar, jalan di antara Pasar Besar Siti Khadijah dan Bazaar Buluh Kubu ini. Bersebelahan Pasar Besar ini, beberapa buah perhentian bas terletak sederet untuk memudahkan penumpang menunggu bas ke destinasi mereka. Aku memandu melepasi perhentian-perhentian bas itu dan seterusnya membelok ke arah kiri menuju ke bahagian depan Pasar Besar ini. Di bahagian inilah yang paling aku benci untuk melaluinya kerana keadaan jalannya yang senantiasa sibuk dan penuh sesak dengan kenderaan yang lalu lalang. Terkadang tu, hampir beberapa lama kami terpaksa terperap di situ kerana jalan jam, terutamanya lagi sewaktu menjelang musim perayaan. Namun mujurlah hari ini keadaan agak terkawal dan aku berjaya melepasi jalan ini dengan agak mudah. Aku mencari tempat 'parking' kereta dan kemudian setelah melihat sebuah Honda Civic baru sahaja keluar dari tempatnya, aku memandu cermat memasuki ruang parking yang kosong itu. Setelah menguncinya, aku dan Rini berlalu menuju ke destinasi yang diingini.


Abang Azlan mengangkat begku dan menyimpannya di ruang meletak barangan di badan bas Ekspress Mutiara bernombor 3 yang akan berangkat ke Kuala Lumpur ini sebentar lagi. Aku berdiri rileks berhampiran muka pintu bas sementara menunggu Abang Azlan kembali. Biasanya Abah yang akan menghantarku sekadar di luar sana sahaja kerana suasana sekitar Stesyen Bas Jalan Hamzah ini yang senantiasa sibuk menyebabkan sukar untuk mencari tempat parking kereta. Tetapi kadang-kalanya Abang Azlan ada juga menghantarku ke sini. Dan kebetulan pada malam ini Abang Azlan yang ingin keluar menemui rakannya, jadi dia terus menghantarku ke mari.

Hampir kesemua penumpang bas telah menaiki bas, dan ini bermakna bas akan bertolak bila-bila masa sahaja dari sekarang. Aku bersalaman dengan Abang Azlan dan terus mendaki anak tangga bas menuju ke tempat dudukku di 'seat' yang bernombor 13. Sebelum itu, sempat juga Abang Azlan menasihati aku agar pandai menjaga diri di tempat orang. Seingatku, begitulah nasihat yang sering dia utarakan kepadaku. Insya Allah, Abang. Yakinlah kepada adikmu ini. Adikmu ini tidak akan menghampakan hati keluarga kita, dan juga hati orang lain. Dan Erin janji Abang, Umi, dan Abah. Erin janji Erin tidak akan mengganggu hubungan Shahrul dan Suraya, kekasihnya itu.

Aku tidak tahu sama ada mereka masih mempunyai hubungan ataupun sudahpun berpisah setelah Shahrul bertunang denganku hampir sebulan yang lalu. Biarlah dia sendiri yang akan sedar dengan hubungan yang telah terjalin antara kami ini. Aku tidak akan sekali-kali menganggu hubungan bahagia mereka selama ini. Tidak sekali-kali kerana Suraya lebih berhak ke atas Shahrul. Mereka bercinta atas dasar suka sama suka. Sedangkan aku pula bertunang dengannya atas dasar orang tua. Sudah pasti aku jauh ketinggalan di belakang.
Bas berjalan dengan laju. Badanku sekali-sekala bergoyang mengikut alunan bas. Gadis yang duduk bersebelahan denganku dari mula-mula tadi lagi sudah hanyut dibuai mimpi indah. Hanya aku yang masih terkebil-kebil melayan perasaan. Namun, tidak lama kemudian aku turut sama terlelap mengikut jejak langkah gadis di sebelah.


Suasana di blok mulai meriah menjelang tengah hari. Ramai di kalangan rakan-rakan seblokku, terutamanya satu aras sudah kembali ke kolej. Sesudah siap mengemas barang yang baru sahaja dikeluarkan daripada pantry, kami beramai-ramai keluar ke kafeteria untuk mengalas perut. Kuliah pula akan bermula pada keesokan pagi. Dan result pun akan diketahui pada pagi esok. Eeee… takutnya…… moga-moga aku memperolehi keputusan yang aku targetkan. Amin. Selepas mengalas perut, kami bersama-sama menuju ke bilik TV. Maklumlah… masih dalam honeymoon, dan tempohnya akan tamat pada besok hari.


"Nita, bagi aku buah limau tu," pinta Azura. Limau madu yang di bawa oleh Sheera dari kampungnya, Sungkai, Perak itu memang manis rasanya. Tetapi aku lebih menggemari isinya yang masam-masam manis. Oleh itu, aku kurang menjamah hidangan tersebut. Ruang menonton TV ini penuh dengan hidangan dari segenap pelosok negeri yang dilonggokkan di situ untuk kami sama-sama merasa sikit sama sikit. Aku membawa keropok goreng segera yang biasa dan bersira yang telahpun aku keluarkan daripada beg aku tadi. Nampaknya, keropok itu memang laris kerana sekejap sahaja sudah habis dibaham oleh buaya-buaya yang kelaparan ini. Suasana riuh dengan suara -suara lebih kurang sepuluh gadis yang sedang berkumpul ini berlawan dengan bunyi dari peti televisyen. Zazila, gadis hitam manis dari Melaka itu yang baru sahaja masuk sebentar tadi makin menambahkan suasana yang sedia kecoh dengan sikapnya yang sememangnya kepoh itu.

"Alamak….. rindunya aku kat korang semua…" ucapnya dan terus meluru ke arah kami. Dia mencapai sehiris honey dew yang baru sahaja Rozana keluarkan daripada peti sejuk yang berada di bilik TV ini. Buah ini diberi oleh Zamzuri, AJK Kebajikan blok Kijang yang agak rapat dengan geng kami sewaktu kami balik daripada kafeteria tadi. Apabila kami bertanya dari mana dia mendapat buah itu, dia mengatakan yang buah adalah buah curi. Lantak kau lah Skodeng….. Haa.. kenalah tu dengan nama Skodeng tu… Kami tahu yang Skodeng hanya bergurau sahaja dengan kami.

Zamzuri yang berkulit cerah itu yang kami panggil Sukun adalah seorang rakan yang baik hati. Seringkali apabila pulang dari kampungnya di Parit, Perak, pasti dia akan membawa buah tangan buat kami. Dan kami pula turut membawa makanan untuk membalas kembali kepadanya. Bak kata pepatah Melayu, ‘Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi kita Merasa’ la…..

"Eh, Rin… tengok cincin kat jari kau tu…. Cantiklah…," Suara Zazila sambil menghabiskan suapan terakhir honeydew itu ke mulutnya. Dadaku terasa bergetar secara tiba-tiba mendengar kata-kata dari Zazila itu. Mata rakan-rakan yang lain yang sedang leka menikmati hidangan itu tertumpu ke jari manis sebelah kiriku. Cincin permata merah delima yang diikat kukuh dan dikelilingi sepuluh biji berlian yang bersinar indah itu aku longgarkan daripada jariku dan aku suakan kepada Zazila.

"Ha ah, lawalah Rin… sapa kasi ni…?" Korek Amira pula yang tadi sedang leka membelek risalah Avon isu terbaru . "Pakwe ke?"

"Alah, Aku dah perasan masa kita kat kafe tadi, tapi masa tu terlupa pulak nak tanya…., " Noni pula mencelah. Mereka yang lainnya hanya tersenyum.

"Hish, korang ni….. cincin ni dah lama la… Aku baru pakai je sebab pergi kenduri kahwin rumah kawan aku masa cuti hari tu, tapi terlupa pulak nak simpannya balik." Aku mereka cerita. Wajahku cuba aku selambakan sebaik mungkin agar mereka mempercayainya, sambil membelek risalah Avon yang sedari tadi diperhati oleh Mira. Sebelum ini, aku tidak berniat untuk memberitahu mereka berkenaan pertunanganku dengan Shahrul itu.

"Ooo.. kenduri kahwin rumah kawan… bukan kenduri kahwin kau ke?" Ujar Rozana pula serkap jarang. Aku tau yang sebenarnya dia bergurau. Darahku terasa menyiarap ke muka, tapi aku cuba berlakon sebaik mungkin. Aku menutup kembali risalah Avon itu, menelan liur seketika lalu mengangkat muka menentang wajah-wajah yang berada di hadapanku itu.

"Betul, pakwe pun takde lagi….. Macam mana nak kahwin… Apppaa la korang ni…" Riak wajah cuba aku seriuskan sebaik mungkin.

"Eleh, ada orang yang nak kau pulak yang jual mahal…." Perli Nita sambil mengopek kulit limau. Memulang paku buah keras yang pernah aku ujarkan kepadanya dulu. Dia juga rapat dengan rakan-rakanku di blok ini.

"Kalau tak percaya sudah…. Suka hati koranglah nak cakap apa-apa pun." Malas aku bersoal jawab dengan rakan-rakanku itu. "Eh, jom tengok Rindu Semakin Jauh tu…," Aku berdalih dan mengajak mereka menonton siaran ulangan siri cereka tersebut.

"Ha… tu nak lari dari tajuk le tu…" Giat Zazila lagi.

"Entahnya Erin ni… takkan dekat roomates sendiri takleh cakap kot?" Celah Syikin pula. Dia baru sahaja tiba di bilik TV ini sewaktu kami sedang berbalas kata. Mungkin ada di antara mereka yang menceritakan kepada dia.

"Takde… betul… ni cincin Erin yang Umi simpan…." Bersungguh aku menipu mereka. Aku bangun dan berlalu menuju ke arah sofa yang berada di hadapan kaca TV itu meninggalkan mereka yang lain yang masih mengadap makanan. Setelah itu, aku kembali ke bilik untuk menunaikan Solat Zohor.



No comments: