Thursday, March 22, 2007

~Thirteen~

Bab 13


Setelah memberi keterangan di Balai Polis Port Dickson, Charina dibenarkan balik. Farid dan Budin turut dibebaskan kerana tiada bukti kukuh yang boleh disabitkan mereka bersalah. Namun mereka diberi amaran secara lisan.

Pihak polis mengatakan, jika perlakuan mereka itu dianggap bersalah, maka Charina juga turut bersalah kerana berada di situ dan mengikuti mereka ke situ dengan sengaja. Charina terkedu, namun dia faham kerana dia juga mempelajari undang-undang di dalam kertas Commercial Law pada semester lepas. Sedikit sebanyak dia memahami prosedur proses pengadilan, di mana "Seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sebaliknya dibuktikan dia bersalah." Nampaknya dia tiada bukti yang nyata yang boleh ditonjolkan sebagai bahan bukti bahawa dia telah diperdaya oleh Farid dan Budin itu.

Dia sudah menceritakan segalanya peristiwa dari awal hingga akhir bagaimana Budin yang mengaku sebagai Tengku Mazri datang menjemputnya di kolej dan membawanya ke Bukit Antarabangsa sebelum membawanya ke Port Dickson ini kepada pihak polis. Namun, dia tiada bukti! Tiada siapa yang tahu kes itu kecuali mereka bertiga. Namun, mereka berdua lebih cekap memutar belitkan cerita menjadikan seolah-olah dia pula yang gatal dan bersalah kerana mengikut mereka ke mari. Serasa perasaan malu yang teramat di kala itu. Jika ditutup dengan sepuluh helai gebar pun belum tentu hilangnya perasaan malunya itu. Tiba-tiba dia teringat, Pak Wahab dan Mak Yam tahu akan perkara itu.

Oh, ya….. ada lagi….. Pak Wahab dan Mak Yam…. Mereka tahu pasal hal ini. Tapi…. tentulah mereka tidak dapat bekerjasama dengannya kerana Farid merupakan majikan mereka. Apa-apahal, tentu mereka akan berpihak kepada majikan mereka. Jika tidak pun, mereka pasti mendiamkan diri tidak mahu campur tangan. Duga Charina sendiri. Dengan itu dia memutuskan tidak mahu melanjutkan perkara ini. Biarlah cerita ini menjadi satu pengalamannya agar dia lebih berhati-hati dengan ragam manusia di masa depan!

Mungkin juga ini salahnya sendiri kerana terlalu lurus dan jujur mempercayai orang lain. Charina menerima peristiwa ini berlaku di atas kekhilafan dirinya sendiri dan tidak berhasrat untuk memanjangkan kes itu. Seboleh mungkin dia tidak mahu menghebahkan kepada sesiapa pun melainkan kepada yang terlibat secara langsung itu sahaja. Dia juga tidak berhasrat untuk memberitahu kedua ibu bapanya, apatah lagi kepada Shahrul dan keluarganya.

Charina berharap peristiwa ini akan menjadi satu kenangan buatnya yang akan mengajar agar dia lebih matang dalam menempuhi rencam dunia yang pelbagai dan membolehkan dia lebih berhati-hati di masa akan datang. Benarlah kata orang tua-tua, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Sedangkan pada masa sekarang pun, rambut yang hitam boleh diwarnakan, apatah hati yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mungkin pelbagai warna dicampur adukkan membentuk satu warna yang amat menggerunkan!

Di dalam era kehidupan manusia yang serba mencabar ini, pelbagai pengalaman hidup yang perit, manis, tawar lembar menyebabkan manusia lupa akan rasa prihatin dan perikemanusiaan sesama sendiri, sehingga menimbulkan pelbagai jenis jenayah yang kadang kalanya tidak dapat diterima akal fikiran. Dewasa ini, setiap hari di dada media elektronik mahupun media cetak, kisah-kisah jenayah masih menjadi agenda utama. Peristiwa rompakan senjata, rompakan bank, kes pembunuhan, penculikan, pencabulan, masalah keruntuhan moral ~ bohsia, bohjan, buang bayi, sodomi semakin melarat-larat.

Namun dia pasti, setiap masalah dapat diselesaikan. Sepertimana firman Allah pernah menyebut setiap penyakit ada penawarnya, sudah pastilah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Yang pastinya semua orang perlulah kembali kepada ajaran yang maha Esa yang dibawa oleh Nabi (saw), yakni kembali kepada Islam!

Setelah semuanya selesai, masing-masing keluar dan pulang menghala ke arah tujuan mereka sendiri. Farid dan Budin dengan megahnya keluar sambil melemparkan senyuman mengejek ke arahnya.

"Sayang, nanti you datang lagi ke tempat I lagi tau….," ujar Farid mengada sambil mengenyitkan mata ke arahnya tanpa mempedulikan pandangan tajam dari Faizul dan Azmi. Budin yang di sisi tersengih-sengih. Charina tidak mempedulikan kata-kata Farid sambil melangkah laju mengekori langkah Faizul ke keretanya yang diletakkan di satu sudut di balai polis itu. Hatinya menyumpah-nyumpah geram namun disabarkan hatinya.

Setelah alarm dipetik dan pintu dibuka, Charina memboloskan diri ke dalam kereta pantas tanpa suara. Di dalam hati dia kesal di atas segala yang terjadi itu. Namun nasi telah menjadi bubur. Sejuta kali dikesalkan pun, perkara sudah pun berlaku. Dia sedar ini semua merupakan dugaan Allah ke atasnya!

Di dalam perjalanan pulang, Faizul menceritakan bagaimana dia terdengar jeritan meminta tolong beberapa kali. Sewaktu itu, dia dan rakan sepejabatnya, Azmi sedang dalam perjalanan pulang dari berjumpa client setelah habis sesi janji temu dengan clientnya di restoran yang berdekatan di PD ini.

Memandangkan clientnya tertinggal beberapa dokumen penting di chalet yang berdekatan dengan chalet Farid, dia dan Azmi sudi mengikut client mereka pulang ke chalet itu untuk mengambil dokumen berkenaan. Dan dia mendengar laungan meminta tolong itu setelah melalui jalan yang berdekatan dengan chalet kejadian tersebut di dalam perjalanan pulang. Dia terus menghentikan keretanya lalu berlari pantas menendang ke arah pintu chalet yang tertutup kemas.

"Tapi Faizul tak sangka yang perempuan yang meminta tolong itu adalah Erin……," tambah Faizul lagi sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali seolah tidak mempercayainya. Dia merenung wajah Charina yang masih ayu meskipun agak muram dari cermin pandang belakang. Perasaan simpati, kasih dan ingin melindungi bersesak di dadanya.

Sayangkah aku kepadanya..?? Cintakah aku terhadap gadis ini …?? Soalan itu tiba-tiba muncul di benak Faizul.

Charina menundukkan kepalanya sambil menggigit bibir. Perasaan malu yang teramat sangat bersarang di hatinya. "Memang saya yang bodoh kerana mempercayai mereka. Saya… saya … saya tak sangka yang mereka sanggup mengkhianati saya. Saya…," suaranya terhenti di situ. Ada cecair jernih yang bertakung di bibir mata, namun dia cuba menghindarinya daripada mengalir.

"Jangan menyalahkan diri sendiri. Erin tak bodoh, tapi mungkin nasib Erin yang kurang bernasib baik. Tapi….. syukurlah Erin tidak menjadi mangsa rakus si Farid durjana tu…., " suara Faizul lagi penuh geram. Sungguh-sungguh dia geram!

"Betul tu… awak bernasib baik kerana kami tiba tepat pada masanya….." Tambah Azmi pula. Dia yang berada di kerusi penumpang di depan berpaling ke arah Charina yang berseorangan di belakang.

"Awak rapat ke dengan mereka tu?" Soal Azmi lagi sambil memalingkan kembali wajahnya ke depan.

Charina sepi seketika untuk mencari kata yang paling sesuai. Sambil tangannya menyapu wajahnya dengan tisu.

"Budin tu saya tak kenal langsung le, cuma sekali dulu. Tapi dengan Farid tu agak rapat juga beberapa bulan dulu. Dia selalu datang ke kolej saya selepas satu peristiwa dulu." Terang Charina sambil menceritakan peristiwa ketumpahan air laici yang memalukannya dahulu sehinggalah dia semakin rapat dengan Farid. Faizul dan Azmi menganggukkan kepalanya beberapa kali. Charina turut memberitahu berkenaan hasrat Farid yang beberapa kali proposednya tetapi dia menolak. Dia tidak segan meluahkan kepada mereka berdua kerana mereka sudah mengetahui kisah yang amat mengaibkannya beberapa jam tadi, dan Charina berasa amat terhutang budi di atas bantuan mereka itu.

"Err, Faizul…."

Faizul berpaling ke arah Charina sebentar dan kemudian kembali memandang ke depan. Jalan agak lengang. Suasana mulai kelam. Mentari semakin menghilang di ufuk barat.

"Kenapa?" Soal Faizul setelah Charina senyap buat seketika.

"Err, saya nak mintak tolong agar awak rahsiakan kejadian tadi dari Kak Linz dan roomates saya yang lain, ya…..," pinta Charina lembut penuh harapan. Seboleh mungkin dia tidak mahu rakan-rakannya mengetahui kes tersebut. Faizul agak rapat dengan mereka sebilik. Beberapa kali mereka keluar makan beramai-ramai sehinggakan sudah mesra. Ibarat kawan yang sudah bertahun-tahun kenal.

"Tapi kenapa?" Soal Faizul hairan sambil berpaling ke arahnya seketika sekali lagi sebelum kembali menumpu perhatian kepada pemanduannya.

"Takde apa, cuma saya tak nak mereka tau je…. Saya tak mahu susahkan mereka dengan cerita saya ni….." Senyap seketika.

"Lagipun, saya rasa tak payah la kes ni dihebohkan. Kira stop sampai tadi je. Kiranya antara kita saja yang tahu….," terang Charina lagi.

Faizul senyap seketika sebelum mengangguk.

"Kalau mereka kacau awak lagi?" Soal Azmi pula.

"Takpe… saya rasa mereka takkan ganggu saya lagi…" Balas Charina.

"Awak yakin?" Faizul pula menyoal. "Awak tak dengar kata-kata Farid tadi?" Sambungnya lagi.

Charina senyap.

"Entah… tapi saya rasa mereka takkan berani buat begitu lagi pada saya. Kalau mereka berani apa-apakan saya lagi. Taulah saya apa yang saya nak lakukan. Saya akan lapor kepada pihak universiti dan pihak polis." Terang Charina lagi tegas.

Mereka mengangguk-angguk.

"Tolong ya, jangan kasi tau mereka." Pinta Charina lagi penuh mengharap.

Faizul senyap.

"Please….," pintanya bersungguh.

"Tapi….. saya rasa mereka patut tahu….," Faizul meluahkan pendapatnya. Azmi diam tanpa kata. "Kenapa awak tak nak mereka tahu? Awak ni peliklah…," sambung Faizul lagi.

"Ala… tolong la… Saya tak nak susahkan mereka. Lagi pun, saya malu…!" Jawab Charina perlahan.

"Apa yang nak dimalukan? Kalau mereka tahu lagi senang untuk mereka mengawasi keselamatan awak di masa akan datang." Ujar Azmi pula yang diam dari tadi. Hanya sesekali menambah kata.

"Sebenarnya, pada saya ini privacy…. Saya tak suka orang tahu pasal saya… pasal kisah peribadi saya…. Tambahan lagi hal ini boleh menjatuhkan maruah saya..!" Luah Charina lagi. "Tolong ya Faizul… jangan pecahkan kisah ni…." Sambungnya lagi penuh mengharap.

Faizul senyap seketika.

"Tapi itu untuk kebaikan awak juga…."

"Please….."

"Yalah! Saya tak akan beritahu dekat Linz…." Putus Faizul akhirnya. "….. tapi kali ini saja…. Kalau apa-apa lagi yang berlaku di masa depan tu, saya tak janji akan simpan rahsia ni lagi dari mereka….. Dan, lagi satu, tolong la beritahu mereka jika apa-apa yang berlaku kelak….dan … termasuk juga saya…..," repek Faizul lagi.

Aku lega mendengar kata-katanya.

"Yalah, kalau ada apa-apa di masa depan tu, saya bagi tau mereka….," balasku sekadar menyedapkan hatinya.

Sebenarnya aku pun tidak tahu kenapa aku agak keberatan untuk memberitahu apa-apa masalahku jua terhadap sesiapa pun even kepada Umi ataupun Abah. Biasanya aku lebih senang menyelesaikan masalahku sendiri. Selagi aku boleh menyelesaikan tanpa bantuan, aku cuba menyelesaikannya sendiri. Itulah perangaiku selama ini. Aku sendiri turut hairan dengan sikapku yang satu ini.

Faizul sudah memandu melepasi Plaza Tol UPM. Setelah tiba di lampu isyarat memasuki UPM, dia memberi isyarat ke kiri dan kemudian terus memandu menuju ke kolej. Setelah tiba di KOSASS, dia terus balik tanpa bertemu dengan Kak Linz kerana dia mengejar masa untuk menghantar Azmi di pejabat mereka di Jalan Klang Lama kerana kereta Azmi ditinggal di pejabat mereka sebelum mereka ke PD pagi tadi.

Selepas memerhati kereta Altis itu hilang dari pandangan, aku berjalan lemah menuju ke bilik sambil benakku ligat mencari idea mencipta alasan yang munasabah kerana pulang agak lewat sedangkan aku sudah meninggalkan mesej untuk keluar sekejap cuma. Jam di tanganku menunjukkan ke angka 8.00 malam. Aku mempercepatkan langkah kerana waktu Maghrib sudah lanjut. Namun akhirnya aku berlari-lari anak menuju ke bilik. Sesampai di bilik, Yati dan Syikin tengah solat sementara Kak Linz sudahpun siap dan sedang melipat sejadah dan kain telekung.

"Haa… dari mana ni…. Malam-malam baru balik?" Sapa Kak Linz setelah melihatku.

Aku senyum tawar. Wajahku menggambarkan keletihan yang teramat.

"Ada hal tadi. Nanti karang la Erin cerita, sekarang nak solat dulu." Jawabku sambil menyalin blaus dan skirt labuhku yang dipakai tadi. Nasib baik tak koyak! Aku bergegas ke tandas untuk mengambil wuduk dan bergegas menunaikannya. Setelah itu aku kembali ke tandas untuk membersihkan badan.












No comments: